DEFINISI
Dari segi bahasa atau etimologi, jiran
berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal
bersebelahan atau tetangga.[1]
Dari segi istilah jiran adalah orang-orang
yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan
lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Jiran
juga bererti ahli-ahli 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah
individu. Hal ini sebagaimana hadith riwayat Abu Daud, telah bersabda
Rasulullah s.a.w iaitu :
Maksudnya : “Empat puluh buah rumah tetap
sebagai jiran tetangga”.[2]
Berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w
menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada rumah seseorang diselangi 40 buah
rumah, ia juga dikira sebagai jiran tetangga. Menurut Ali Ibn Talhah daripada
Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian
darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh
manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh
kita.
PEMBAHAGIAN JIRAN
Islam membahagikan jiran kepada beberapa
bahagian iaitu jiran beragama Islam yang mempunyai pertalian darah, jiran
beragama Islam yang tidak mempunyai pertalian darah dan jiran bukan Islam.
Dalam erti kata lain jiran jauh dan dekat. Hal ini sebagaimana firman Allah
s.w.t dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 iaitu :
Maksud-Nya : Sembahlah Allah dan janganlah
kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua
orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga
yang dekat dan tetangga yang jauh[3] dan teman sejawat, ibnu sabil[4] dan hamba
sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan
membangga-banggakan diri.
HAK JIRAN YANG PERLU DIPELIHARA
Hak jiran perlu bagi setiap individu untuk
pelihara kerana hal ini adalah selari dengan tuntutan agama. Tidak menyakiti
jiran dan seringkali memelihara keamanan dengan jiran. Hal ini sebagaimana
dalam sabda Rasulullah s.a.w iaitu :
Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya.”[5]
Menghormati jiran dan pengamalan mereka
selagimana tidak membawa mudharat. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama
Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka
misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh
orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah
dihormati selagimana tidak membawa bahaya dan mudharat.
Umat Islam yang bertimbang rasa dan
menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang
paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa
mencurahkan segala bakti demi kebaikan jiran mereka yang merupakan manusia yang
paling mereka kasihi. Islam banyak menyeru umatnya agar sentiasa menjaga dan
memelihara hubungan dengan jiran. Menyedari betapa tingginya kedudukan jiran di
dalam Islam dan peranannya dalam kehidupan kemanusiaan.
Antara hak jiran yang lain yang perlu
dipelihara adalah sentiasa memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak
yang baik dalam muamalah dengan mereka. Islam mementingkan hubungan mesra dan
layanan baik kepada jiran dan ini terlihat daripada banyak panduan daripada
hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar yang menyebut telah
bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :
Maksudnya : Wahai Abu Dzar sekiranya engkau
memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya
dan berikan kepada jiran engkau.
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an
dan hadith, jelas menunjukkan bahawa Islam seringkali menganjurkan dan menyeru
umatnya supaya sentiasa menjaga hubungan dengan jiran tetangga dan memelihara
hak-hak jiran disamping menghormati jiran-jiran bukan Islam selagimana tidak
merosakkan akidah dan akhlak.
No comments:
Post a Comment