Pengertian khurafat dalam Islam ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran., pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan. pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta.
Di antara faktor-faktor yang mendorong berlakunya khurafat ialah :
a). Mudah mempercayai benda-benda tahyul
b). Kecetekan ilmu agama
c). Terpengaruh dengan kelebihan seseorang atau sesuatu benda
Manakala jalan penyelesiannya ialah setiap umat Islam hendaklah mendalami ilmu agama sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi S.A.W yang bermaksud :
"Aku telah tinggalkan kamu 2 perkara selama mana kamu berpegang teguh dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku"
Oleh demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati ketika menelusuri pentas kehidupan global supaya tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat dengan memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenal pasti ciri amalan khurafat.
Khurafat ditakrifkan sebagai cerita mempesonakan yang dicampur-adukkan dengan perkataan dusta. Syeikh Idris al-Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai cerita yang karut marut.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menyimpulkan khurafat, semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat, ia tidak bersumberkan nas syarak sama ada daripada al-Quran mahu pun hadis; cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut; didasarkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam; berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam; mengguna objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan tertentu dan ada unsur negatif pada akidah dan syariat Islam.
Demikianlah antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat jika dihalusi secara mendalam, memang banyak berlaku dalam masyarakat Islam masa kini. Bahkan, ia masih lagi menebal dalam tradisi dan kepercayaan umat Islam dalam kehidupan seharian.
Contohnya, kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu atau batu hikmat yang kononnya boleh menyembuhkan sebarang penyakit, memuja objek tertentu, roh nenek moyang, kubur wali keramat dan sebagainya.
Begitu juga kepercayaan kepada sial seperti adat mandi Safar, adat mandi membuang sial, bunyi burung hantu pada waktu malam dan nombor sial seperti nombor empat.
Masih ada orang Islam yang tergamak memohon bantuan dari jin seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat main pantai dan seumpamanya.
Tidak kurang petani dan nelayan yang masih percaya kepada bertambah dan berkurangannya rezeki sehingga ada yang memuja semangat padi seperti bersemah dan membuang ancak di sungai atau laut (nelayan).
Orang Melayu pada dasarnya kaya dengan warisan pantang larang yang sebahagiannya jelas bertentangan hukum syarak seperti anak gadis dilarang menyapu pada waktu malam dikhuatiri menjadi andartu, tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi dan adat melenggang perut.
Itulah antara kepercayaan serta amalan khurafat yang masih wujud dan berakar umbi dalam setiap sendi masyarakat Islam.
Justeru, Islam sebagai agama menitik beratkan aspek akidah dan syariah menjelaskan bahawa segala amalan, adat, kepercayaan, perkataan dan perbuatan tidak berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan Qias dilarang sama sekali.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami, yang tidak termasuk dalam ajaran Islam yang suci, maka apa yang diamalkan itu tertolak (tidak diterima amalan berkenaan oleh Allah dan tidak diberikan pahala."
No comments:
Post a Comment